Media House Entertainment portal hiburan, gaya hidup terbaharu - Utusan Malaysia

Media House Entertainment portal hiburan, gaya hidup terbaharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebuah portal baharu Media House Entertainment (MHE) sebagai hab berita hiburan digital di Malaysia dilancarkan dalam sebuah majlis yang berlangsung di pejabat operasi di Wisma Trex, Jalan Lima Chan Sow Lin sebentar tadi.

Bertindak sebagai portal media dalam talian bersepadu, MHE turut menawarkan sebuah portal televisyen web MHETV.my yang menggabungkan tiga jenama penerbitan terkenal dalam bidang hiburan iaitu Pancaindera, URTV dan Majalah WANITA. 

Pancaindera merupakan akhbar sisipan hiburan paling popular, manakala URTV pula digelar sebagai majalah hiburan tertua di negara. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara Majalah WANITA pula adalah majalah gaya hidup popular yang kekal bersaing di pasaran media sehingga ke hari ini. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, MHE akan diperluaskan, dilengkapi dengan forum dalam talian, chat room, radio web dan pelbagai genre video on demand (VOD), permainan dalam talian, muzik dan gosip semasa dalam usaha mendekati pelayar internet. 

“Melengkapkan jabatan penerbitan dan penyiaran dalam talian MHE adalah bahagian Penganjuran Acara yang berfungsi sebagai perancang, koordinasi dan pengurusan acara dengan perkhidmatan konsultasi kreatif serta strategik. 

“Ia bakal dimulakan dengan penganjuran acara Pakistan Afghanistan Malaysia Food and Culture Show (PAMFACTS) yang dijadualkan berlangsung pada Februari tahun depan di Kuala Lumpur,” katanya. 

Malah, MHE akan menganjurkan Pertandingan Akhir Gadis PANCA 2018 yang bakal berlangsung pada 14 Disember depan. 

Sebelum itu, pada November ini MHE bakal melancarkan acara besar yang menggabungkan jenama-jenama popular dalam bidang media sosial. 

“Sesungguhnya MHE komited meneroka jalan baharu dalam dunia digital, mencari penyelesaian terbaik untuk memanfaatkan sumber kreatif kami. 

“Matlamat utama kami adalah untuk mencipta strategi unik, individual dan hasil yang didorong oleh tumpuan kuat terhadap pulangan pelaburan pelanggan tanpa menjejaskan kepentingan umum pengguna perkhidmatan kami,” tambah Zaienal. 

Operasi MHE mengumpulkan sekitar 50 pekerja profesional terdiri daripada barisan editor, penulis, wartawan, pengeluar, pengarah filem dan kreatif serta ahli strategi pemasaran dan pengiklanan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini