SHAH ALAM – Seramai 124 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang penyimpanan barangan milik sebuah pasaraya terkenal di Bukit Beruntung, Rawang dekat sini semalam.
Serbuan oleh sepasukan 16 anggota dan pegawai daripada Jabatan Imigresen Selangor itu bermula kira-kira pukul 2.30 petang.
Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan selama hampir satu minggu serta daripada maklumat awam.
“Dalam operasi ini, seramai 215 orang warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 124 orang adalah PATI.
“Mereka terdiri daripada 79 orang warga Bangladesh, (24) India, (20) Nepal dan seorang warga Indonesia. Kesemua yang ditahan itu adalah lelaki berusia lingkungan 20 hingga 52 tahun,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Shukri berkata, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 tinggal tanpa permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta yg sama iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.
“Pihak jabatan juga sedang mengesan dan akan menahan majikan yang bertanggungjawab menggajikan PATI tersebut termasuk mendakwa di mahkamah sekiranya terbukti telah melanggar peruntukan undang-undang sedia ada,” ujarnya. – K! ONLINE











