KANGAR – Ketiga-tiga jenazah yang melibatkan tiga sekeluarga yang mati lemas di Arau dekat sini pada Khamis, minggu lalu masih belum dikebumikan kerana menunggu pengesahan cap jari dan laporan kimia.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, setakat ini, ketiga-tiga jenazah itu dalam seliaan pihak Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
“Kes masih disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri dan Seksyen 35 (e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.
“Polis masih belum menyerahkan jenazah-jenazah kepada ahli keluarga kerana menunggu pengesahan cap jari dari Bukit Aman dan menunggu laporan kimia,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Kosmo! melaporkan baru-baru ini tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemui di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat di Arau dekat sini pada Khamis minggu lalu.
Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35, ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira pukul 9 pagi.
Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma Pin, 64, ditemui orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.
Tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad, 66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat. – K! ONLINE











