PUTRAJAYA 23 Okt. – Sistem e-undi yang digunakan oleh PKR dalam pemilihan pimpinan parti akan terus kekal.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan sistem tersebut tidak akan ditukar dengan sistem pengundian yang lama.
Menurutnya, setakat ini, sistem tersebut hanya bermasalah di Melaka manakala di negeri-negeri lain seperti di Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Perlis tidak ada sebarang masalah.
“Sewaktu kita mahu membuat keputusan untuk menggunakan sistem (e-undi) itu, parti telah mengambil kira semua masalah yang akan dihadapi.
“Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti juga telah bersiap sedia dari awal untuk membantu ahli parti menggunakan tab, jadi tidak ada timbul untuk kita fikir patah balik guna sistem lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kemungkinan PKR akan menggunakan sistem undi lama berikutan insiden kehilangan 2,000 undi di lima cabang PKR Melaka.-UTUSAN ONLINE











