JOHOR BAHRU 23 Okt. – Mahkamah Majistret di sini pagi tadi membenarkan tahanan reman selama lima hari ke atas 12 pegawai belia dan sukan bagi membantu siasatan bersubahat membuat tuntutan palsu melebihi RM90,000, tiga tahun lalu.
Majistret, Siti Hajar Ali membenarkan tahanan reman bermula hari ini terhadap kesemua suspek selepas permohonan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Anis Redza Muhamad Anuar.
Perintah tahanan reman ke atas mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 50-an bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana bersubahat.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Semalam, kesemua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri kira-kira pukul 12 tengah hari.-UTUSAN ONLINE











