KANGAR 23 Okt. – Ketiga-tiga jenazah mangsa mati lemas di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat di sini baru-baru ini, masih belum dikebumikan kerana dalam siasatan polis.

Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, ketiga-tiga jenazah masih dalam penjagaan pihak Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Katanya, polis setakat ini kekal menyiasat kes itu mengikut Seksyeb 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri dan Seksyen 35 (e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.
“Polis belum menyerahkan jenazah-jenazah kepada ahli keluarga kerana menunggu pengesahan cap jari dari Ibu pejabat Polis Bukit Aman dan menunggu laporan kimia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.
Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira pukul 9 pagi.
Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma Pin, 64, ditemukan oleh orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.
Tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad, 66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat. – UTUSAN ONLINE











