BASEL, Switzerland 23 Okt. – Kecederaan belakang yang menimpanya sewaktu sesi latihan, Ahad lalu bersama rakan senegara, Roger Federer telah memaksa Stan Wawrinka menarik diri daripada pertandingan Swiss Indoors yang bermula, semalam, sementara Marin Cilic berjaya mara ke pusingan kedua di Basel.
“Saya mengalami masalah belakang, dan menarik diri adalah satu-satunya keputusan yang terpaksa saya ambil,” kata juara tiga kali Grand Slam itu.
Jelasnya, dia juga akan menamatkan aksinya musim ini lebih awal dan memutuskan untuk tidak bermain di Paris Masters, minggu depan.
Penarikan diri Wawrinka, pemain yang menghuni ranking ke-68 dunia pada ketika dia berjuang untuk pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan lutut, hadir selepas Federer membuat pengakuan berhubung kecederaan yang dialaminya.
Federer membuat pengakuan di St Jakobshalle, bahawa dia mengalami kecederaan tangan sejak musim panas, namun, pemenang Grand Slam sebanyak 20 kali itu menegaskan, dia kini telahpun pulih.
Juara bertahan tersebut memburu gelaran kesembilan pada kejohanan yang pernah menyaksikan Federer menjadi budak pengutip bola. Dia akan memulakan aksinya, esok, menentang pemain Serbia, Filip Krajinovic.
Sementara itu, pemenang 2016, Cilic menyingkirkan bintang Kanada sedang meningkat naik, Denis Shapovalov menerusi kemenangan straight untuk layak ke pusingan kedua.
Naib juara Terbuka Australia, Cilic adalah salah seorang bekas juara yang berada dalam undian utama bersama Federer, dan dia menewaskan Shapovalov 6-4, 6-2. – AFP











