KEKURANGAN pengalaman dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan pastinya menimbulkan sedikit tanda tanya mengenai kemampuan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baru dilantik, Wong Choong Hann.
Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih skuad badminton negara, Rashid Sidek menganggap naib juara Kejohanan Dunia 2003 itu memiliki perancangan tersendiri meskipun tidak ada pengalaman luas dalam bidang tersebut.
Katanya, semua pihak perlu memberi masa kepada Choong Hann untuk membuktikan kemampuannya selain percaya BAM memiliki alasan tersendiri sebelum melantik bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu.
“Tugas berat itu sudah semestinya memandangkan beliau masih baru dalam bidang ini. Mungkin Choong Hann orang baharu tetapi beliau pastinya mampu menyumbangkan idea-idea baharu yang tidak terfikir oleh orang sebelum ini.
“Jika nak kata dia calon tepat untuk jawatan itu tidak juga tetapi kita berikan masa kepadanya dan sama-sama kita nantikan hasilnya. Saya kata begitu kerana dia belum ada pencapaian apa-apa pun sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rashid yang juga pemenang Piala Thomas 1992 sedikit khuatir sama ada Choong Hann mampu ataupun tidak mengendalikan tekanan, lebih-lebih lagi perlu bekerjasama dengan jurulatih lebih senior.
“Itulah yang menjadi persoalannya nanti sama ada mampu atau tidak dia mengendalikan jurulatih-jurulatih lebih senior, namun beliau pasti ada cara tersendiri. Mungkin atas sebab itulah BAM melantik Choong Hann.
“Persoalan mengenai kenapa BAM tidak membawa masuk nama-nama besar seperti Rexy (Mainaky), saya fikir ia disebabkan komitmen individu itu sendiri. Sebagai contoh, Rexy memiliki kontrak bersama Thailand sehingga 2020,” tambah beliau.
Legenda badminton tanah air itu juga menegaskan, sekiranya skuad badminton negara masih gagal untuk mendapatkan pingat emas sulung pada Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun dua tahun lagi, semua pihak tidak boleh meletakkan kegagalan tersebut di atas bahu Choong Hann.
“Emas Olimpik bukan hanya terletak di tangan pengarah kerana tugas beliau hanya menyusun program serta modul sahaja. Paling penting di sini adalah bagaimana jurulatih dan pemain tersebut mengikuti program yang disediakan itu,” ujarnya lagi.
Choong Hann pastinya memikul tugas yang cukup sukar apabila salah satu matlamat pelantikannya adalah untuk membawa pulang kilauan pingat emas pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.











