MANCHESTER 22 Okt. – Cristiano Ronaldo akan sentiasa diingati di Old Trafford, tetapi kepulangan pemenang lima kali Ballon d’Or yang juga bekas wira Manchester United ke bandar tersebut minggu ini, mungkin perkara terakhir yang mahu dilihat bekas kelabnya itu.
Ronaldo mencipta namanya di Manchester dengan menjaringkan 118 gol, merangkul tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan meraih kemenangan sulung daripada lima trofi Liga Juara-Juara sebelum berpindah ke Real Madrid menerusi perpindahan yang memecah rekod dunia.
Pada perlawanan, Rabu ini, Ronaldo yang kembali ke Old Trafford dengan menyarung jersi Juventus, sangat terdesak menjadikan persembahannya dalam perlawanan tersebut bagi menutup tuduhan rogol dihadapinya di Amerika Syarikat sebelum berpindah ke Real pada 2009 yang telah mencemari permulaan kariernya di kelab gergasi Itali itu.
Ronaldo telah menafikan semua tuduhan yang dilemparkan dan kelabnya turut mempertahankan bintang mereka itu, tetapi apa yang menjadi kebimbangan peminat United ialah ancaman yang mampu dijelmakannya selepas kali terakhir dia bertandang ke Old Trafford pada 2013.
Pada malam itu, Ronaldo telah merobek hati peminat United, begitu juga mentornya, Alex Ferguson yang menjadi perlawanan terakhir pengurus tersebut di peringkat Eropah apabila dia meledakkan gol kemenangan pasukannya dalam pertemuan yang berlangsung tegang.
“Pada malam itu memang sukar dilupakan, ia sangat beremosi dan apa yang penyokong lakukan untuk saya begitu penting,” katanya mengenai sambutan yang diterimanya.
Lima tahun lalu, misinya untuk memastikan Real menamatkan penantian yang panjang merangkul Piala Eropah buat kali ke-10. Walaupun memerlukan masa, tetapi dia sebenarnya berjaya membantu Real merealisasikan impian tersebut, malah turut menjulang gelaran ke-11, ke-12, dan ke-13 sebelum meninggalkan Los Blancos, musim panas ini.
Peranan Ronaldo cukup besar dan tiada siapa lebih arif tentang hal itu berbanding pengurusnya pada malam terakhir kejayaannya di Manchester iaitu Mourinho yang kini bos United. – AFP











