ROME 22 Okt. – Kapten, Mauro Icardi meledakkan gol dramatik sewaktu masa kecederaan bagi membantu Inter Milan mengejutkan AC Milan 1-0 dalam aksi derby di San Siro yang sekali gus menyaksikan mereka merampas kembali kedudukan ketiga pada Serie A, hari ini.
Pemain antarabangsa Argentina itu memanfaatkan kesilapan yang dilakukan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma untuk menanduk masuk gol pada minit ke-92 bagi menambah derita skuad bimbingan Gennaro Gattuso itu yang masih gagal mencipta kemenangan dalam lima perlawanan terakhir derby liga.
Namun, Inter yang meneruskan kebangkitan di bawah kendalian Luciano Spalletti, selepas menamatkan penggal lepas di kedudukan keempat dan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2011/12, merapatkan jurang kedudukan kepada enam mata dengan pendahulu Serie A, Juventus yang diikat keputusan seri 1-1 menentang Genoa di laman sendiri, Sabtu lalu.
“Saya datang ke sini dengan tujuan meraih kemenangan dan bukan sekadar duduk di bangku simpanan untuk bawa pulang ke rumah gaji yang saya dapat setiap bulan.
“Saya menyertai Inter untuk menguruskan kelab ini dan pemain juga perlu melakukan perkara sama. Saya suka apabila Icardi berkata kami perlu beraksi konsisten dan terus berusaha,” kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti kepada Sky Sports Italia. – AFP











