KUALA LUMPUR 22 Okt. – Pemaju projek pemasangan paip pembetungan bagi Langat 2 di sekitar Taman Taming Emas, Taman Bidara dan Taman Berjaya Baru di sini berjanji akan membaik pulih sebanyak 100 rumah yang terjejas sebelum bulan Mac tahun hadapan.
Pengurus Projek Sri Tinggi Sdn. Bhd, Eugene Chong memberitahu, daripada jumlah tersebut kira-kira 50 buah rumah telah dibaik pulih setakat ini. Menurutnya, kos baik pulih tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pemaju termasuk kos sewa rumah baharu.
Beliau berkata, sebelum ini sebanyak tujuh buah keluarga telah dipindahkan ke kawasan lain demi keselamatan mereka.
“Pihak kami menitikberatkan keselamatan penduduk. Oleh itu, mana-mana rumah yang didapati tidak selamat untuk diduduki selepas diperiksa oleh jurutera, mereka akan diarahkan untuk berpindah.
“Rumah mereka akan dibaiki mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan bukannya sekadar menampal bahagian retak sepertimana didakwa penduduk,” katanya selepas dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan penduduk di tiga buah taman perumahan mengenai tahap keselamatan mereka. Penduduk mendakwa rumah mereka retak di sana sini berpunca daripada pemasangan paip pembetungan bagi projek Langat 2.











