BENTONG 22 Okt. – Jika sebelum ini Janda Baik di sini terkenal dengan Halia Bentong, kini ia mempunyai tarikan baharu iaitu buah tin bermutu tinggi.
Sehingga kini, penanaman buah berkhasiat berkenaan mendapat tempat dalam kalangan penduduk setempat apabila merekodkan kira-kira 4,000 pokok tin di tanah seluas dua hektar.
Pengusaha penanaman pokok tin Benefigs, Mohamad Hafidz Arifin berkata, potensi penanaman buah berkenaan membuatkannya berhenti kerja makan gaji dengan Petronas dan menceburi penanaman buah itu.
“Alhamdulillah, selepas tiga bulan pokok ini mengeluarkan hasil pertama yang baik dan berkualiti dengan rasa manis yang mana buah paling besar seberat 124 gram sebiji.
“Ia jelas menunjukkan bahawa tanah dan cuaca di sini sesuai untuk mengeluarkan buah tin berkualiti dan rasa yang manis,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Musim Menuai Buah Tin Benefigs di sini, baru-baru ini.
Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Syefura Othman dan Pengarah Pejabat Pelancongan negeri, Datuk Idrus Yahya.
Menurut Mohamad Hafidz, dia menanam sebanyak 400 pokok tin di dalam rumah hijau yang melibatkan pelaburan kira-kira RM200,000.
Katanya, buah berkenaan dipasarkan terus kepada pembeli yang mana orang ramai boleh berkunjung dan memetik sendiri buah berkenaan di rumah hijau miliknya.











