KUALA TERENGGANU 22 Okt.- Hasil kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mendapati ekstrak pokok cucur atap berkesan dalam mencegah serangan gout.
Spesies Baeckea frutescens yang juga dikenali sebagai pokok corong atap biasa ditemui tumbuh meliar di kawsan pantai timur terutama di negeri ini.
Pokok herba renek selama ini mempunyai nilai harga tinggi sebagai pokok bonsai untuk hiasan laman dan sumber pemakanan lebah madu dan kelulut.
Bagi mempromosikan penemuan itu, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd Latif Mohmod akan menyempurnakan prapelancaran produk prototaip antigout, ‘GOUTREE’ di Stesen Penyelidikan FRIM Setiu (SPF Setiu) eaok.
FRIM dalam satu kenyataan memberitahu, prapelancaran akan dilakukan sempena perasmian penubuhan Taman Dipterokarpa di stesen berkenaan.
SPF Setiu meliputi kawasan seluas 53.27 hektar ditubuhkan pada 1996 di tanah hak milik kerajaan negeri secara pajakan selama 60 tahun kepada FRIM.
FRIM memberikan fokus terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pemuliharaan dan pengurusan tanah bris yang mempunyai kandungan nutrien dan keupayaan memegang air yang sangat rendah.
FRIM juga telah mengenal pasti dan menanam spesies pokok yang bersesuaian untuk ditanam di kawasan tanah bris.- UTUSAN ONLINE











