POLIMIK mengenai jambatan bengkok atau Jambatan Indah yang bakal menghubungkan Johor dengan Singapura kembali hangat diperkatakan selepas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian memaklumkan perancangan itu di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Pengumuman tersebut mengejutkan banyak pihak selepas kerajaan Persekutuan menghentikannya pada 2006 kerana Malaysia tidak tunduk dengan kehendak Singapura pada masa tersebut jika ingin merealisasikan projek jambatan baharu itu.
Republik tersebut memohon tuntutan timbal balik yang melibatkan penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Johor oleh Singapura. Perkara ini melibatkan kedaulatan negara dan sudah tentu sebarang bentuk toleransi tidak akan diberi atau digadaikan.
Perancangan merobohkan Tambak Johor dan menggantikan dengan jambatan lurus bermula pada 1996 adalah hasil cetusan ilham Tun Dr. Mahathir Mohamad. Apabila Singapura mengenakan syarat itu, kerajaan Malaysia memutuskan untuk membina jambatan bengkok pada Mac 2006.
Bagi penulis, keputusan meng- hidupkan semula projek jambatan bengkok sudah diduga dan menganggapnya sebagai ‘hadiah’ untuk rakyat Johor selepas projek Sistem Rapid Transit (RTS) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura ditangguhkan.
Ramai tidak menyedari pembinaan jambatan lurus atau bengkok mempunyai banyak rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada umum, selain memberikan banyak faedah, antaranya melancarkan aliran trafik, merancakkan industri perkapalan dan pelabuhan negara serta kelancaran aliran air di Selat Tebrau mampu meningkatkan kualiti air dan alam sekitar.
Banyak pihak membantah pembinaan semula jambatan bengkok terutama pembangkang kerana mendakwa sebagai satu pembaziran. Adalah wajar sekiranya kerajaan Johor dan Persekutuan melakukan kajian mengenai keperluan membinanya semula termasuk kos.
Ini kerana kos projek itu menelan belanja hampir RM5 bilion pada kadar semasa, meningkat hampir empat kali ganda berbanding kos asal sebanyak RM1.1 bilion pada 2003. Rakyat Johor sudah tentu menyambutnya dengan baik, namun keperluannya perlu dikaji termasuk kesannya terhadap hubungan dengan Singapura.
Sekiranya projek mega ini diteruskan, kerajaan Malaysia hanya perlu memaklumkan kepada Singapura mengenainya. Mereka sebenarnya tidak punya hak membantah kerana kawasan jambatan bengkok itu berada dalam sempadan atau kawasan Johor.
Bagaimanapun, perancangan menjadikan enam lorong menerusi jambatan bengkok sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923 itu agak janggal jika Singapura tidak melakukan langkah sama.
Sekiranya hanya di sebelah laluan Malaysia mempunyai kelancaran aliran trafik, namun apabila masuk ke Kompleks Kastam Woodlands di negara itu dan keadaannya masih sama, masalah kesesakan tidak dapat diselesaikan.
Justeru satu langkah tepat perlu diambil sama ada menangguh atau memulakan semula projek itu. Kepentingan atau keuntungan politik pihak kerajaan atau pembangkang harus diketepikan, keputusannya perlu bersandarkan sentimen, kedaulatan dan integriti rakyat Malaysia.











