JOHOR BAHRU 22 Okt. – Pemaju projek pembangunan bercampur Forest City, Country Garden Pacificview Sdn. Bhd.(CGPV) bersetuju untuk membina rumah mampu milik di negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perumahan dan Pembangunan Luar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan CGPV mengenai perkara itu dan pemaju berkenaan menyatakan komitmen untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat.
“Lebih banyak perbincangan lanjut akan dijalankan antara kerajaan negeri dan syarikat berkenaan tentang perkara itu (rumah mampu milik),” katanya selepas merasmikan Pasaran Hartanah di Johor: Peluang dan Cabaran, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, kerajaan negeri lebih memilih untuk membina rumah mampu milik di salah satu daripada empat pulau buatan dalam projek Forest City di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
“Pemaju perlu meneliti harga rumah mampu milik tersebut sekirnya dibina di pulau buatan berkenaan kerana kos penambakan itu bukanlah murah.
“Walau bagaimanapun, mereka secara dasar telah menyatakan kesediaan untuk membina rumah mampu milik berkenaan dan surat juga telah dikemukakan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, hingga kini terdapat lima projek terbengkalai dan 27 projek ‘sakit’ di seluruh negeri ini.
Tiga daripada projek ‘sakit’ berkenaan kini dalam rancangan penyelesaian dan pihaknya akan bertemu dengan dua lagi pemaju dalam masa terdekat bagi memulihkannya.











