TOKYO 22 Okt. – Syarikat pembuat pesawat Kanada, Bombardier Inc. (Bombardier) menyaman Mitsubishi Heavy Industries Ltd. (Mitsubishi) berhubung tindakan bekas pekerjanya menyalurkan rahsia perdagangan bagi membantu projek jet serantau Mitsubishi yang tertangguh.
Bombardier memfailkan saman pada Jumaat lalu di Mahkamah Persekutuan di Seattle terhadap Mitsubishi Aircraft Corporation, Aerospace Testing Engineering & Certification Inc. (AeroTEC) dan beberapa bekas pekerjanya.
AeroTEC bekerjasama dengan Mitsubishi Aircraft bagi membantu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa terhadap jet penumpang yang memiliki kapasiti 90 tempat duduk itu.
Tuntutan setebal 92 halaman tersebut mendakwa pekerja Bombardier yang direkrut oleh Mitsubishi atau AeroTEC membawa bersama dokumen rahsia dan maklumat berkaitan pengesahan pesawat di Kanada dan Amerika Syarikat (AS).
Bombardier sedang mencari injunksi awal untuk menghalang Mitsubishi Aircraft dan AeroTEC daripada menggunakan maklumat yang diambil. Tuntutan itu menyatakan pekerja Bombardier telah menghantar dokumen penting ke emel peribadi sebelum mereka meninggalkan syarikat untuk menyertai projek bersama Mitsubishi.
Menurut jurucakap Mitsubishi Aircraft, pihaknya percaya tuntutan yang dikemukakan oleh Bombardier adalah tidak berasas dan akan membuktikan tuduhan itu pada masa yang sesuai.
Program jet serantau Mitsubishi merupakan program pesawat penumpang pertama Jepun sejak tahun 1960-an dan telah ditangguhkan selama beberapa tahun. Pelanggan pertamanya, ANA Holdings Inc. menjangkakan menerima pesawat tersebut pada 2020.
Bombardier dalam tuntutan mahkamahnya mendakwa Mitsubishi Aircraft melanggar Akta Rahsia Perdagangan Pertahanan 2016 kerana cuba menggunakan maklumat sulit dan dokumen yang diperoleh daripada bekas pekerja bagi mempercepatkan proses yang sangat rumit dan menelan belanja yang tinggi berhubung pengesahan pesawatnya.
Kesukaran untuk mendapat pensijilan merupakan antara faktor pelancaran pesawat serantau Mitsubishi tertangguh. Ia dikatakan bakal bersaing dengan jet Siri C Bombardier yang menggunakan nama Airbus SE A220.
Bombardier mengambil masa hampir sedekad bagi merealisasikan Siri C daripada konsep kepada penerbangan komersial. Menurut syarikat itu, hanya empat organisasi yang berjaya membangunkan program pesawat yang diluluskan oleh pihak berkuasa Kanada, Eropah dan AS sejak 2000. – REUTERS











