Jenayah siber kaut RM4.2b - Utusan Malaysia

Jenayah siber kaut RM4.2b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Kes jenayah komersial di negara ini semakin membimbangkan apabila mencatatkan 21,374 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM4.2 bilion sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 56 peratus kerugian daripada kes jenayah siber se­perti Macau Scam, Love Scam, pembelian dalam talian dan penipuan pinjaman tidak wujud.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman juga menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat menje­lang akhir tahun ini dan kertas siasatan dibuka untuk tahun lalu iaitu 30,364 kes.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarahnya, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, susulan itu, pihaknya melancarkan Op Seagull sejak 14 hingga 20 Oktober lalu di dalam dan luar negara.

Ujar beliau, kejayaan terbesar adalah operasi dengan kerjasama polis Hong Kong dan Singapura pada 19 hingga 20 Oktober lalu menyaksikan sindiket Love Scam yang menyasarkan mangsa dari dua negara asing itu ditum­paskan.

“Dalam operasi serentak itu, kita berjaya menahan 19 individu berusia antara 29 dan 60 tahun termasuk dua warga Nigeria yang merupakan dalang sindiket Love Scam tersebut dalam operasi di negara ini, dua ahli sindiket ditahan dalam operasi di Singapura manakala 11 lagi ditahan di Hong Kong.

“Dengan penahanan itu, kita percaya telah menyelesaikan 38 kes Love Scam dengan kerugian berjumlah RM28 juta untuk operasi di Malaysia, 100 kes membabitkan kerugian HKD54.6 juta (RM29 juta) di Hong Kong dan lapan kes dengan kerugian SGD450,000 (RM1.3 juta) di Singapura,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Amar Singh memaklumkan, sebelum itu pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket menawarkan pinjaman tidak wujud yang beroperasi di Melaka serta satu sindiket Macau Scam di Pulau Pangkor, Perak.

“Serbuan pertama di Melaka dilakukan pada 14 Oktober lalu dan berjaya menahan tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 23 tahun hingga 42 tahun. Sindiket itu sudah beroperasi sejak enam bulan lalu serta terbabit dalam 54 kes penipuan membabitkan kerugian berjumlah RM345,000.

“Serbuan kedua pula dilakukan pada Sabtu lalu membabitkan sindiket Macau Scam yang mempunyai lima rangkaian pusat panggilan di Pulau Pangkor dan beroperasi sejak Oktober tahun lalu. Dalam serbuan itu, sebanyak 27 ahli sindiket yang melakukan 221 kes penipuan membabitkan kerugian RM1 juta turut ditahan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini