KUALA LUMPUR 22 Okt. – Penggunaan dokumen palsu dipercayai tercetusnya kekecohan yang berlaku dalam pemilihan PKR di Cabang Petaing Jaya Utara mengakibatkan tujuh lelaki ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, hasil siasatan turut menemukan dokumen itu yang digunakan mereka ketika proses pemilihan berjalan.
“Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 55 tahun telah dirakamkan percakapannya bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Mereka kemudian diikat jamin setelah proses merakamkan percakapan selesai dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian semalam sekumpulan tujuh lelaki ditahan ketika proses pengundian berjalan di Cabang PKR Petaling Jaya Utara.
Sumber polis mengatakan mereka terbabit pada awalnya ditangkap kerana mengganggu proses pemilihan sebelum mendapati dokumen digunakan adalah palsu.
Mohd. Zani memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan.
Sementara itu di Melaka, Lima ketua cabang PKR negeri tidak bersetuju pemilihan parti di negeri ini diadakan semula ekoran kelemahan sistem e-undi pada pemilihan peringkat negeri, Sabtu lalu.
Timbalan Pengerusi PKR negeri, Gue Teck berkata, keputusan sama ada pemilihan semula itu diadakan atau sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) selepas keputusan di kelima-lima cabang berkenaan tidak dapat dimuktamadkan susulan masalah teknikal.
Menurutnya, masalah yang dihadapi itu telah menimbulkan keraguan kepada banyak pihak namun pemilihan semula dilihat tidak wajar diadakan kerana ia akan melibatkan pembaziran kos, masa serta tenaga para pengundi.
“Kami menyarankan agar satu mesyuarat tergempar diadakan melibatkan setiausaha agung, JPP, semua calon ketua cabang negeri dan calon atau wakil timbalan presiden bagi memuktamadkan keputusan tersebut,’’ katanya dalam sidang akhbar di Rumah Media Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Dalam pada itu, dua calon Ketua Cabang Tangga Batu membuat laporan polis terhadap sistem e-undi yang digunakan dalam Pemilihan PKR negeri kerana mendakwa sistem berkenaan tidak telus dan wujud unsur sabotaj.
Tambah Gue Teck, antara sebab keputusan pengundian di negeri ini gagal dimuktamadkan adalah faktor teknikal seperti kehabisan kredit Internet serta kelembapan capaian Internet yang menghalang kesemua data undian dimasukkan ke dalam pelayan.
Sementara itu, dua calon Ketua Cabang Tangga Batu membuat laporan polis terhadap sistem e-undi yang digunakan dalam Pemilihan PKR negeri kerana mendakwa sistem berkenaan tidak telus dan wujud unsur sabotaj.
Calon berkenaan, Alias Abd Wahab, 59, menganggap sistem yang disediakan itu tidak boleh diguna pakai dan menggesa JPP menyelesaikan segera masalah tersebut.
Seorang lagi calon, Abdullah Ali, 48, pula menggesa supaya undian semula diadakan kerana tidak dapat menerima keputusan yang bakal diumumkan nanti berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini.
Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, keputusan pengundian negeri Melaka akan dibawa ke mesyuarat biro politik esok malam bagi menentukan kedudukan empat cabang yang terlibat.











