KUALA LUMPUR 22 Okt. – Op Gading IV akan disambung semula dalam jangka masa terdekat bagi menggempur pekebun degil yang meneroka tanah sewenang-wenangnya di daerah Cameron Highlands.
Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, operasi tersebut akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di bawah Jawatan Kuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands.
Katanya, di bawah jawatankuasa berkenaan, operasi terbabit akan diselaraskan dan dikemaskini bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Tanah yang diteroka secara berleluasa dan tarahan bukit yang tidak terkawal menjadi faktor utama kepada kejadian tanah runtuh di kawasan Cameron Highlands. Jabatan Mineral dan Geosains juga menganggotai jawatankuasa ini “Ia akan diaktifkan semula bagi menyelaras dan mengemaskinikan Op Gading IV nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia semalam yang menunjukkan penerokaan tanah di daerah tersebut yang kini semakin parah dan berada di tahap membimbangkan.
Malah berdasarkan beberapa pandangan pakar, Cameron Highlands berpotensi untuk meningkatkan kadar risiko bencana terutama kejadian tanah runtuh pada masa depan.
Dalam pada itu, Shahar Effendi berkata, pihaknya juga akan menyambung semula pemantauan bagi menentukan tahap guna tanah serta mengenal pasti zon yang berisiko tinggi berlakunya tanah runtuh di Cameron Highlands bulan depan.
Selain itu, pihaknya turut melakukan pengelasan dan mengenal pasti setiap cerun yang disifatkan ‘kritikal’ dalam operasi berkenaan supaya tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
“Operasi pemantauan tersebut merupakan sebahagian daripada Op Gading yang diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini,” ujarnya.
Menurutnya, penentuan kesesuaian kawasan penerokaan diselaraskan di peringkat daerah melalui input pelbagai agensi teknikal dan kami menjalin kerjasama dari sudut geologi bagi sebarang cadangan pembangunan fizikal mahupun aktiviti pertanian.
“Operasi ini tertangguh dari bulan Mei dan dijangka disambung kembali pada bulan hadapan. Kita tunggu arahan dan hala tuju lebih-lebih lagi kita baru mendapat mandat daripada kerajaan baharu,” jelasnya.











