KOTA BHARU – Aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sukar dibanteras disebabkan faktor geografi iaitu keluasan sempadan yang begitu besar.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Abdul Rahman berkata, kewujudan banyak laluan tikus di sepanjang 134 kilometer sempadan itu juga menyukarkan agensi penguatkuasa membanteras aktiviti tersebut.
“Selain itu, ketiadaan rizab sungai dan cadangan supaya dikosongkan rizab untuk dijadikan kawasan rondaan penguatkuasa sehingga kini tiada penyelesaian termasuk juga cadangan pembinaan tembok dan pagar keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Rentas Sempadan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Dalam program berkenaan, seramai 500 peserta daripada pelbagai agensi penguatkuasa yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan menyertai seminar anjuran bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi mengatasi halangan faktor geografi itu, Rosli berkata PDRM bersama agensi keselamatan yang lain meningkatkan lagi rondaan dan kawalan di kawasan sempadan tersebut. – Bernama











