KUALA LUMPUR – Seorang penyokong kerajaan mencadangkan supaya institusi Parlimen dijadikan sebagai sebuah suruhanjaya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, cadangan mewujudkan Suruhanjaya Parlimen tersebut adalah bagi menjadikan institusi perundangan tertinggi dalam negara itu berupaya berfungsi sebagai sebuah kuasa yang disegani dan bebas daripada kuasa eksekutif.
“Punca kuasa Parlimen harus berdiri sebagai independent (bebas) supaya tidak dilihat sebagai salah sebuah cabang yang masih bernaung di bawah pihak eksekutif sementara dana datang daripada Kementerian Kewangan semata-mata.
“Kita mahu Parlimen mempunyai jawatankuasa-jawatankuasa tersendiri yang mempunyai punca kuasa dan juga punca dana yang tersendiri,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat hari ini.
Laporan tersebut dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Khamis lepas. – Bernama











