KOTA BHARU 22 Okt. – Sebarang hasil keputusan siasatan mengenai kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Relau, Pulau Pinang pada Jumaat lalu perlu didedahkan kepada umum kerana tragedi itu melibatkan kepentingan awam.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kejadian itu wajib dijadikan iktibar khususnya pemaju dan kontraktor apatah lagi ini merupakan kejadian kedua tetapi kali ini melibatkan kehilangan nyawa.
Tegasnya, aspek keselamatan pekerjaan terutama di kawasan pembinaan adalah sangat penting kerana ia sebenarnya boleh dielak sekiranya langkah awal diambil termasuk mendapatkan nasihat teknikal daripada pakar mengenai geologi dan pergerakan tanah.
“Masanya telah tiba untuk semua peringkat masyarakat, pekerja tempatan atau asing, kerajaan mahupun kontraktor beri komitnen tinggi kepada keselamatan pekerja.
“Cuaca buruk tidak boleh dijadikan alasan kerana kita sejak dari awal sudah boleh jangkakan hujan lebat di merata tempat pada musim tengkujuh,” katanya.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) ditemui ketika menghadiri Seminar Pencegahan Jenayah Rentas Sempadan negeri Kelantan 2018 ‘Bersama Tingkatkan Integriti Banteras Jenayah Penyeludupan’ di Dewan Utama PCB Resort di sini hari ini.
Lam Thye berkata, pembangunan lereng bukit di negara lain seperti Hong Kong patut dijadikan contoh kerana dilakukan dengan cara selamat.
“Orang kata pembinaan di lereng bukit bahaya tetapi Hong Kong boleh bina apartmen dan kondominium tanpa masalah kerana mereka mendapatkan nasihat yang betul,” katanya. – UTUSAN ONLINE











