KUALA LUMPUR 22 Okt. – Kerajaan disaran mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) mini di stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang kurang jumlah pengguna.
Langkah tersebut termasuk menyediakan kaunter perkhidmatan agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun berkata, kewujudan UTC mini dapat menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan kecil.
“Jadikan stesen MRT sebagai tempat tumpuan dan rujukan untuk orang ramai melaksanakan urusan harian mereka.
“Selain bertujuan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, ia sekali gus meningkatkan jumlah penumpang MRT,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Di samping itu, jelas Khairul Azwan, ia merupakan strategi serampang dua mata di mana rakyat mendapat kemudahan dan nilai tambah daripada hasil pembangunan MRT.
“Selain itu dapat mengurangkan subsidi kerajaan menanggung pengangkutan awam rel. Sasaran untuk mengurangkan subsidi masih belum tercapai kerana kekurangan penumpang, Maka ini akan dapat membantu pihak kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











