BALING 22 Okt. – Pengusaha laksa kebok, Kampung Seri Landak, Kupang di sini, Daud Ismail, 51, berharap Kementerian Kesihatan mengeluarkan keputusan rasmi melalui dokumen bertulis selepas mendakwa laksanya dicemari bakteria salmonella enterica serovar weltevreden hingga meyebabkan dua kematian dan 80 lagi keracunan makanan.
Kata Daud, sehingga kini dia belum menerima keputusan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang sebaliknya hanya dimaklumkan oleh pegawai kesihatan Baling yang berkunjung ke rumahnya semalam.
“Saya kecewa kerana selepas menunggu hampir 14 hari tiada keputusan rasmi laksa saya dicemari bakteria itu sebaliknya keputusan hanya dimaklumkan secara lisan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Baling, kelmarin.
“Saya perlukan surat hitam putih kerana kerana jika benar laksa keluaran saya dicemari bakteria saya perlu mengenal pasti punca untuk mengtasainya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Daud, sepanjang 15 tahun mengusahakan laksa kebok itu dia tidak pernah menggunakan sebarang bahan pengawet atau bahan campuran lain.
“Saya hanya menggunakan tepung beras dan tepung gandum semata mata menyebabkan laksa keluaran saya digemari ramai.
“Mungkin mangsa keracunan hingga menyebabkan kematian itu menyimpan laksa dibeli mereka terlalu lama hingga menyebabkan dicemari bakteria,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan terdapat 80 kes keracunan makanan dipercayai berpunca daripada laksa kebok dicatatkan hingga Khamis lalu yang mana 31 kes termasuk dua kes kematian dilaporkan di Perak, sebanyak 25 kes di Kedah dan 24 kes lagi di Selangor.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan laksa keluaran Daud mengandungi bakteria terbabit menyebabkan keracunan makanan hingga menyebabkan kematian.
Sejak kejadian itu, Daud diarah menghentikan penghasilan laksanya selama 14 hari hingga terjejas mata pencariannya.
“Dari perbualan dengan kakitangan Jabatan Kesihatan Baling, kemungkinan besar esok (Selasa) perniagaan saya boleh beroperasi seperti biasa.
“Selama dua minggu saya mengikuti semua prosedur yang ditetapkan oleh pihak jabatan dan berharap mampu meneruskan perniagaan seperti biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











