KOTA BHARU – Musim menuai padi dua kali setahun amat ditunggu sebahagian daripada penangkap ikan ‘separuh masa’ di negeri ini kerana inilah masanya kaki boleh terpijak rezeki dalam bendang.
Antara kawasan sawah padi menjadi tumpuan adalah Ladang Merdeka Mulong seluas lebih 98 hektar di sini yang menarik kehadiran bukan sahaja penduduk setempat malah mereka tinggal di sekitar kawasan tersebut.
Pekerja kilang bata, Aznan Abd. Hapil, 35, dari Kampung Parit Limbat, Pasir Tumboh berkata, tradisi berkubang dalam lumpur mencari ikan seperti puyu, keli dan haruan menjadi aktiviti diminati penduduk setempat tanpa mengira usia.
“Penduduk menangkap ikan di kawasan laluan mesin menuai padi sama ada menggunakan serkap ataupun tangan.
“Saya lebih suka menangkap ikan dengan tangan, ia lebih mudah sebab kita dapat rasa badan ikan yang bersembunyi dalam air keruh, cuma perlu berhati-hati, saya pernah terkena sengat ikan keli dan tangan bengkak selama tiga hari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Aznan berkata, ikan ditangkap dalam lumpur perlu dipelihara sementara dalam air bersih terlebih dahulu sebelum dimasak atau dijual kepada sesiapa yang berminat untuk menghilangkan bau busuk.
Sementara itu, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong (1), Adam Akmal Azhar, 12, dari Tunjong pula berkata, dia tidak takut bergelumang dalam selut sebaliknya merasa seronok dapat menangkap ikan.
Katanya lagi, selepas tamat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, dia memang tidak sabar menunggu musim menuai padi yang bermula sejak pertengahan bulan ini.
“Saya mulakan hobi ini pada usia 9 tahun lagi, saya ada dua serkap buluh yang ayah buat sendiri, setakat ini saya belum pernah lagi terjumpa binatang berbahaya seperti ular,” katanya. – K! ONLINE











