KUALA TERENGGANU 21 Okt. – Kira-kira 1,500 anggota dan pegawai polis di Terengganu kini diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, secara keseluruhannya terdapat 2,900 anggota termasuk pegawai polis di Terengganu yang juga bersedia dikerah menghadapi bencana itu, sekiranya diperlukan.
Beliau seterusnya memberi jaminan jumlah kesemua 2,900 anggota polis di Terengganu sudah mencukupi bagi menjalankan tugas ketika banjir termasuk memastikan mangsa bencana serta harta benda dalam keadaan selamat.
“Kekuatan anggota dan pegawai kita (polis) akan dikerah seberapa ramai yang ada dan pada masa ini terdapat 2,900 anggota polis di Terengganu, jika perlu kita akan kerah semua sekali untuk bantu kawal keselamatan bersama agensi penyelamat lain.
“Setakat ini seramai 1,500 anggota di semua balai dan kontinjen negeri telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi segala kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan Terengganu di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Aidi menjelaskan, selain kekuatan anggota, segala aset termasuk bot penyelamat dan logistik lain sudah pun bersiap sedia untuk dikerah pada bila-bila masa.











