MADRID 21 Okt. – Tonggak pertahanan Barcelona, Gerard Pique menegaskan pasukannya mampu menghadapi perlawanan tanpa kelibat Lionel Messi.
Messi terpaksa direhatkan selama tiga minggu selepas patah tangan kanan dalam pertemuan merebut tempat teratas liga menentang Sevilla, awal pagi tadi, yang menyaksikan Barca menang 4-2 di Camp Nou.
Selepas terlibat dengan dua jaringan awal, Messi terjatuh dan terhempap tangan kanannya sebelum terpaksa dikeluarkan dalam babak pertama.
Kecederaan serius tersebut menyaksikan bintang Argentina itu, akan terlepas aksi El Clasico berdepan Real Madrid, Ahad depan, selain akan turut dipinggirkan ketika menentang Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Khamis ini.
“Daripada aspek minda, kami tahu kami lebih kuat dengan kehadirannya, namun kami tidak boleh membiarkan ketiadaannya itu mengganggu prestasi kami.
“Memang ada kekurangan tanpa Messi namun kami mempunyai pemain-pemain yang mampu mengisi kekurangan itu,” kata Pique.
Musim ini, Messi telah meledakkan tujuh gol dalam kempen La Liga serta 12 jaringan dalam semua kejohanan.
“Kami akan memastikan ketiadaan Leo tidak dapat dirasai mereka yang menyaksikan perlawanan kami nanti,” jelas pemain tengah Barca, Ivan Rakitic. – AGENSI











