BENTONG 21 Okt. – Potensi yang ada dalam penanaman pokok tin yang masih baharu di negara ini mendorong seorang pemuda, Mohamad Hafidz Arifin, 33, berhenti kerja dan menceburi bidang pertanian berkenaan.
Meskipun berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan di sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka, anak keempat daripada enam adik beradik itu bertekad meninggalkan pekerjaan tersebut selepas sembilan tahun bekerja di situ.
Mohamad Hafidz berkata, berbekalkan modal kira-kira RM200,000, dia membina sebuah rumah hijau bagi menanam kira-kira 400 pokok tin di kawasan seluas kira-kira 929 meter persegi.
“Walaupun mempunyai khasiat yang banyak tetapi masih ramai yang belum mengenali pokok tin di negara ini. Saya mahu merebut peluang ini dengan menjadi antara perintis dalam industri pertanian yang amat berpotensi ini.
“Dengan hanya sebuah rumah hijau, pendapatan saya boleh mencapai sehingga RM10,000 sebulan, jadi saya akan terus memberikan fokus menambah lagi tanaman ini yang menjanjikan pendapatan lumayan,” katanya ketika ditemui di ladangnya yang dikenali sebagai Benefigs di Janda Baik di sini, baru-baru ini.
Menurut Mohamad Hafidz, pokok tin yang mula ditanamnya pada Jun 2018 itu mula dituai selepas empat bulan dan mampu mengeluarkan hasil berterusan dengan harga pasaran RM80 sekilogram.
Katanya, penanaman pokok itu juga baik kerana mampu memberikan pulangan modal yang cepat iaitu hanya dalam tempoh dua tahun berbanding tanaman lain.
“Alhamdulillah, penamanan pertama saya di sini mendapat hasil yang baik yang mana buah terberat dihasilkan ialah 124 gram. Pada masa ini permintaan begitu banyak sehingga saya tidak dapat menampungnya termasu daripada hotel-hotel,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada dua anak itu berkata, selain menambah jumlah rumah hijau, dia juga bercadang menghasilkan industri hiliran daripada pokok tin seperti jus daripada buahnya dan teh daripada daun pokok itu.
“Bagi membantu golongan muda menceburi pertanian ini, saya juga akan mewujudkan sistem ladang kontrak bagi membantu mereka yang berminat,” katanya.











