TEMERLOH 21 Okt. – Dimulakan dan diakhiri dengan doa. Itu antara pendekatan yang diterapkan di Kedai Gunting Rambut Addiniah di Pondok Addiniah dekat Kampung Pangsenam di sini.
Kedai gunting rambut yang mula beroperasi pada 24 September lalu itu dikendalikan seorang pelajar pondok berkenaan, Muhammad Adil Mohd Hamidi,19, yang mempunyai sijil dandanan yang diiktiraf.
Penyelaras Kedai Gunting Rambut Addiniah, Salleh Saharom berkata, pembinaan kedai gunting rambut sumbangan daripada Rumah Rakit Temerloh berkenaan merupakan salah satu usaha bagi menjana pendapatan kepada pondok dan pelajar di situ.
Dia yang juga Pemilik Rumah Rakit Temerloh dan belajar di pondok berkenaan berkata, bayaran yang dikenakan sebanyak RM7 dan sebahagian disumbangkan kepada pondok tersebut.
“Konsep kedai gunting ini adalah berlandaskan syariah yang mana setiap kali menggunting rambut, ia dimulakan dan diakhiri dengan doa selain kita memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
“Alhamdulillah, sejak beroperasi ia mendapat sambutan yang baik dengan purata lebih 10 pelanggan setiap hari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ujar Salleh, kedai gunting dikendalikan oleh Muhammad Adil mempunyai kepakaran dan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam dandanan rambut serta sijil dandanan rambut daripada Akademi Dandanan Primavoc.











