ISTANBUL 21 Okt. – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama para pemimpin Eropah menggesa Arab Saudi memberi penjelasan lebih lanjut mengenai Jamal Khashoggi selepas Riyadh menukar kenyataannya dan memaklumkan bahawa wartawan itu meninggal dunia dua minggu lalu di konsulatnya di Instabul.
Arab Saudi semalam berkata, Jamal yang lantang mengkritik Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dibunuh semasa pergaduhan dalam bangunan konsulat itu.
Bagaimanapun, Jerman menjelaskan kenyataan Arab Saudi itu tidak mencukupi serta mempersoalkan sama ada negara lain wajar menjual senjata kepada Arab Saudi.
Manakala Perancis dan Kesatuan Eropah menggesa supaya siasatan terperinci dijalankan bagi mengetahui apa yang berlaku ke atas kolumnis Washington Post itu selepas dia masuk ke konsulat berkenaan pada 2 Oktober lalu bagi tujuan mengambil dokumen perkahwinannya.
Sementara itu, pihak berkuasa Turki pula mengesyaki Jamal dibunuh di dalam bangunan konsulat tersebut oleh ejen Arab Saudi dengan anggota dan badannya dikerat.
Trump ketika ditanya mengenai perkara itu dalam kunjungannya ke Nevada berkata, beliau tidak akan berpuas hati sehingga mereka mengetahui perkara sebenar.
Kes Jamal telah mencetuskan kemarahan masyarakat dunia dan menjejaskan hubungan politik dan perniagaan antara kuasa Barat dan sekutu AS iaitu Arab Saudi.
Ditanya semasa lawatan ke Nevada sama ada beliau berpuas hati dengan pemecatan pegawai-pegawai Arab Saudi berhubung kematian Jamal, Trump berkata: “Tidak, saya tidak berpuat hati sehingga saya mendapat jawapan. Bagaimanapun itu adalah langkah penting pertama, langkah pertama yang bagus. Tetapi saya mahu jawapannya.” – REUTERS











