Tiga lagi mayat ditemukan - Utusan Malaysia

Tiga lagi mayat ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 21 Okt. – Usaha mencari mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau di sini yang memasuki hari ketiga hari ini me­nemukan tiga lagi mayat setakat pada pukul 7 petang ini.

Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Bangladesh itu dikenal pasti sebagai Mithu Hossain, 30; Mustak Hossain, 25, dan Md. Abd. Jalil, 34.

Penemuan mangsa terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban dalam bencana yang berlaku pukul 2 petang Jumaat lalu meningkat kepada tujuh orang setakat ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar, mayat Mithu dan Mustak dijumpai dalam keadaan bertindih kira-kira pukul 12.13 tengah hari dan 12.18 tengah hari, manakala mayat Md. Abd. Jalil ditemukan pada pukul 4.30 petang di lokasi berdekatan.

Bagaimanapun, katanya, mayat Md. Abd. Jalil ditemukan dalam keadaan tidak sempurna iaitu tanpa kepala serta putus tangan kiri dan kaki kanan serta tertimbus pada kedalaman antara enam hingga 10 meter.

“Operasi mencari dan menyelamat kini diteruskan bagi mengesan sekurang-kurangnya tiga lagi mangsa yang dipercayai masih hilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain tujuh mangsa yang te­lah disahkan meninggal dunia, empat daripada mangsa pula dilaporkan cedera termasuk mangsa terbaharu yang dikenal pasti hari ini, Laduma, 46, dari Indonesia.

Dalam pada itu, Saadon berkata, pihaknya mendapat maklumat kawasan pembinaan di mana berlakunya bencana tersebut tidak hanya didiami pekerja projek berkenaan, malah ada yang membawa ahli keluarga dan kenalan mereka tinggal di situ.

“Sebab itu apabila memasuki hari kedua operasi mencari dan menyelamat, kita dimaklumkan mungkin ada mangsa baharu yang dikhuatiri tertimbus sekali gus menyebabkan jumlah mang­sa meningkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, semua pekerja warga asing yang terkorban dalam kejadian itu disahkan tidak mempunyai permit kerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini