MBSA asing sampah kitar semula dari rumah - Utusan Malaysia

MBSA asing sampah kitar semula dari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 21 Okt. – Bagi menjayakan program kitar semula dalam kawasan pentadbirannya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulakan langkah pengasingan sampah dari rumah bagi kediaman jenis teres dan banglo, hari ini.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kutipan sampah kitar semula tersebut dilaksanakan pada setiap hari Ahad bermula hari ini.

“Pengasingan sampah dari rumah ini dilaksanakan bagi memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pengurusan sisa pepejal yang baik dan penjagaan alam sekitar untuk mengekalkan kelestariannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia juga bertujuan memupuk minat warga Shah Alam untuk melakukan aktiviti kitar semula supaya dapat mengurangkan kadar sisa pepejal di tapak pelupusan sampah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, bagi melaksanakan program itu, pemilik atau penyewa kediaman perlu mengenal pasti dan mengasingkan antara sampah yang boleh dikitar semula dan tidak.

Menurutnya, sampah yang boleh dikitar semula hendaklah dibersihkan daripada sebarang sisa makanan, dikeringkan, dibungkus kemas di dalam beg plastik lut sinar dan diletakkan di tepi tong sampah.

“Sampah kitar semula perlu dikeluarkan serta diletakkan di hadapan premis pada hari kutipan iaitu setiap hari Ahad.

“Antara jenis-jenis bahan kitar semula yang boleh dikumpul adalah surat khabar, kotak, kertas, aluminium, tin dan besi,” katanya.

Selain itu, ujarnya, bahan buangan elektronik seperti bateri, peti sejuk, televisyen, komputer, telefon bimbit, botol plastik dan kotak minuman juga boleh dikumpulkan dan diasingkan.

Beliau menambah, sampah yang hendak dikitar semula juga boleh dihantar terus ke sembilan lokasi pusat kitar semula (PKS) iaitu di Persiaran Dato’ Menteri, Seksyen 2; Jalan Kasawari 6/8, Seksyen 6; Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11; Jalan Yakin 25/11, Seksyen 25; Taman Teluk Menegun, Seksyen 36; Jalan Juruterbang U1/38, Seksyen U1; Jalan Pelapik B U8/B, Seksyen U8; Jalan Tupai 20/16, Seksyen 20 dan Jalan BRP 1/5, Seksyen U20.

Sebarang pertanyaan berhubung program pengasingan sampah dari rumah boleh hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1316, 1548, 1644 atau 1547 atau e-mel kepada [email protected]. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini