SEREMBAN 21 Okt. – Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook kembali dipilih sebagai Pengerusi DAP negeri ini dalam Konvensyen DAP Negeri Sembilan Ke-18 di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan telah menjawat jawatan berkenaan sejak 14 tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Seremban Jaya, P. Gunasekaran dan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, masing-masing mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi dan Setiausaha parti itu bagi negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar telah dilantik sebagai Setiausaha Organisasi DAP negeri.
Seramai 393 perwakilan DAP negeri ini hadir untuk membuat pemilihan jawatankuasa pimpinan negeri bagi penggal ke-18.
Konvensyen itu dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan turut dihadiri Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Zulkefly Mohd. Omar. – UTUSAN ONLINE










