JOHOR BAHRU 21 Okt. – Johor menaikkan usia bagi lelaki dan wanita termasuk bukan Islam yang ingin berkahwin kepada 18 tahun.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, sebelum ini usia bagi lelaki adalah 18 tahun, manakala 16 tahun untuk wanita.
“Keputusan untuk menaikkan umur berkahwin berikutan arahan daripada Putrajaya semasa pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri minggu lalu,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Perdana Belia Johor di Dewan Jubli Intan, di sini sebentar tadi.
Walau bagaimanapun, Osman berkata, jika terdapat kes tertentu melibatkan yang berusia kurang 18 tahun yang ingin berkahwin di negeri ini, mereka perlu mendapat kebenaran daripada Menteri Besar terlebih dahulu sekiranya mempunyai alasan yang baik. – UTUSAN ONLINE











