Pertahan tulisan jawi - Utusan Malaysia

Pertahan tulisan jawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR 20 OkT. – Tulisan jawi yang digunakan sejak abad ke-14 tidak wajar dipinggirkan kerana melambangkan jati diri orang Melayu Islam yang seharusnya bergerak seiring dengan tulisan rumi.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara jelas menyebut jawi merupakan tulisan bagi bahasa kebangsaan di samping tulisan rumi.

Menurutnya, tulisan jawi juga tidak terhad untuk orang Melayu Islam, malah menjadi tulisan bagi semua kaum di negara ini kerana sejak dahulu hingga kini tulisan itu dicetak pada wang kertas negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tulisan rumi yang diperke­nalkan penjajah masih sangat baharu jika dibandingkan de­ngan tulisan jawi dan hanya termaktub dalam akta selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Pada masa sama kita mendapati masyarakat Cina dan India masih mempertahankan bahasa dan tulisan bangsa mereka. Jadi, amat tidak wajar untuk kita meminggirkan tulisan jawi yang menjadi lambang jati diri orang Melayu,” katanya dalam majlis peras­mian Karnival Semarak Jawi 2018 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, Datuk Jamil Rakon. Yang turut hadir Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Nafisah Ahmad dan Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Rusmadi Baharudin.

Oleh itu, semua pihak diminta menyemarakkan semula tulisan jawi kerana boleh dianggap sebagai tulisan rasmi kedua negara selepas rumi.

“Terdapat lebih 10,000 ma­nuskrip Melayu kla­sik bertulisan jawi dalam pelbagai bidang di pelbagai ins­titusi dalam dan luar negara termasuk di England, Belanda, Amerika Syarikat, Ru­sia, Jerman, Perancis dan India.

“Penyelidikan terhadap manuskrip itu perlu diperbanyak untuk menggali ilmu yang terdapat di dalamnya dan disesuaikan pula dengan perkembangan ilmu pada masa ini,” katanya.

Tegasnya, pelbagai bidang ilmu dalam tulisan jawi boleh diteruskan jika mendapat sokongan semua pihak dan PNM serta DBP perlu mengambil tanggungjawab untuk menerbitkan bahan bacaan itu.

Dalam pada itu, beliau turut memuji penerbitan Utusan Melayu bertulisan jawi sebagai sisipan kerana merupakan usaha positif dalam menyemarakkan semula tulisan jawi serta harus dicontohi oleh akhbar lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini