SPRM diminta pantau pemilihan PKR Perlis - Utusan Malaysia

SPRM diminta pantau pemilihan PKR Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 20 Okt. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka meletakkan anggotanya bagi memantau pemilihan PKR di kesemua tiga cabang parti itu di Perlis yang dijadual berlangsung esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Ketua PKR Cabang Arau, Boon Chu Ebau yang mengunjungi pejabat SPRM semalam bagi meminta bantuan pihak berkuasa itu menghantar wakil dalam pemilihan cabang-cabang itu nanti.

Katanya, pendekatan tersebut diambil bagi mengelak budaya politik wang dan rasuah berlaku dalam pemilihan parti termasuk di Perlis yang dikhu­atiri turut terlibat dengan masalah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…
BOON CHU EBAU
BOON CHU EBAU 

“Petang semalam saya me­ngunjungi pejabat SPRM terma­suk Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bagi meminta bantuan mereka memantau pemilihan parti di Kangar, Padang Besar dan Arau. Berkemungkinan pihak berkuasa itu akan menghantar anggota mereka nanti.

“Kita tidak mahu budaya ra­suah dan politik wang mencemari pemilihan parti yang sedang berlangsung,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa ahli PKR ditawarkan wang tunai RM100 bagi setiap undi untuk calon tertentu dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Calon Timbalan Presiden PKR itu mendakwa perkara tersebut berlaku dalam pemilihan yang telah diadakan di enam negeri sejak 20 September lalu.

Sebelum ini, calon Naib Ke­tua Cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kangar, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim pernah mendedahkan mengenai tindakan segelintir calon parti itu di negeri ini yang cuba menyogok ahli dengan memberi barangan keperluan.

Abdul Asymawi Syazwi men­dakwa kegiatan tidak bertanggungjawab itu berlaku di kawasan Arau dan Padang Besar apabila terdapat dalam kala­ngan calon yang berkempen telah pergi dari rumah ke rumah bagi memberikan sogokan berupa beras serta barangan keperluan harian.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Boon yakin Rafizi akan mendapat sokongan penuh daripada kebanyakan ahli PKR di negeri ini dalam pemilihan esok termasuk, daripada kira-kira 600 ahli berketurunan Siam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini