MIRI – Seorang kerani perempuan rugi RM204,400 selepas ditipu sindiket Macau Scam sejak awal September sehingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa berusia 62 tahun itu ditipu menerusi panggilan telefon pada 6 September lalu daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Tan yang memberitahu dia mempunyai kesalahan menerima duit BRIM sebanyak RM5,000.
Menurutnya, suspek turut memberitahu mangsa ada menerima duit daripada Gama sebanyak RM50,000 untuk dibahagikan kepada 10 orang.
“Mangsa yang percaya kemudian membuat transaksi sebanyak RM11,200 ke atas akaun suspek pada 7 September di Public Bank di sini sebelum dia menerima panggilan daripada Jason yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Audit Negara lalu meminta mangsa membuat pemindahan wang sebanyak RM55,000.
“Bagaimanapun, mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang tetapi ada duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, suspek kemudiannya meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM100,000 ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik suspek.
Katanya, mangsa kemudiannya membuat pemindahan RM17,200 ke atas satu akaun milik seorang lelaki Cina sebelum dia meminjam duit orang lain dan membuat satu lagi transaksi sebanyak RM20,000 kepada suspek. – K! ONLINE











