Hajat sambut Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Hajat sambut Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 23 Ogos – Seorang wanita dan anak perempuannya maut manakala dua lagi anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam cerun sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 31, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.40 pagi itu, Maslan Hassan, 55, yang berada di tempat duduk belakang dan anaknya, Nur Fashiera Mohammad Rusdi, 25, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan maut di lokasi nahas.

Anak lelakinya, Muhammad Faiziel, 27, yang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi terbabit cedera parah manakala seorang lagi anak perempuannya yang berada di tempat duduk belakang, Nur Farrah Ezlyn, 22, patah tangan kiri.

Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Damansara, Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di Kampung Rekang Hilir, Jelawat, Bachok.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit dari arah Gua Musang ke Kuala Krai secara tiba-tiba hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian.

“Kereta itu terbabas ke cerun jalan sebelah kanan sebelum melanggar tiang elektrik di situ. Dua penumpang telah tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu dan seorang lagi penumpang yang cedera pula sedang diberikan rawatan di Hospital Gua Musang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×