RAWANG – Kegembiraan sekumpulan pelajar pusat tahfiz bermandi-manda bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas dalam satu kejadian di Tasik Biru Seri Kundang dekat sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang, Yazli Yahya berkata, dalam pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira pukul 7.34 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
“Mangsa, Mohd. Akmal Hakim Yazid, 15, pergi ke lokasi kejadian bersama empat rakan termasuk seorang guru pusat tahfiz yang terletak berdekatan kawasan tersebut untuk beriadah sebelum dia disedari lemas dan tenggelam ke dasar tasik.
“Guru mereka turut menyelam ke dalam tasik berkenaan untuk mencari mangsa namun gagal menemuinya dan segera menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Yazli, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian seterusnya melakukan pencarian di permukaan air sebelum meneruskan carian secara selaman.
Mangsa berjaya ditemui sekitar pukul 9.55 malam di dasar tasik sedalam 12 kaki dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Yazli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa yang berasal dari Pasir Gudang, Johor itu lemas setelah berenang di kawasan yang dalam.
“Tasik tersebut merupakan bekas lombong dan mangsa mungkin lemas selepas berenang di kawasan cerunam di situ,” ujar beliau.











