300 jayakan Pendakian Merdeka - Utusan Malaysia

300 jayakan Pendakian Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 24 Ogos – Kira-kira 300 penggemar sukan lasak di negeri ini turut menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan melakukan Pendakian Merdeka ke puncak Bukit Besar di bandar raya ini sambil membawa Jalur Gemilang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Para peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia termasuk dari luar negara mendaki bukit setinggi 156 meter dalam program yang julung kali diadakan itu.

Koodinator program, Che Adam A. Rahman berkata, pihaknya terharu dengan sambutan daripada para peserta untuk sama-sama memberi makna terhadap program tersebut.

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu memberitahu, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang dalam usaha menyemai semangat patriotik terutama kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Sambutan yang kita terima di luar dugaan memandangkan kita hanya membuat hebahan melalui media sosial dan setelah cepat tular dalam tempoh seminggu dua ini, kita dapati kira-kira 300 orang turut serta.

“Mereka telah menunjukkan rasa kecintaan kepada negara dan kita akan teruskan program begini di lokasi-lokasi strategik lain pada masa akan datang,” katanya dalam program tersebut.

Che Adam berkata, para peserta perlu merentasi laluan kira-kira sejam untuk sampai ke puncak Bukit Besar sebelum lagu NegaraKu berkumandang.

Menurutnya, program tersebut dianjurkan dengan kerjasama gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman, Tac Outdoor dan Bukit Besar Hikers dengan melakukan kerja amal mengutip sampah sepanjang laluan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN