KOTA KINABALU – Kejayaan KD Lekiu menyertai latihan maritim terbesar, Rim of the Pacific (RIMPAC) 2018 di kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat, membuktikan keupayaan dan kesiapsiagaan tempur Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), kata Panglima Armada Timur Laksamana Muda, Datuk Abdul Rahman Ayob.
Beliau berkata, pelayaran fasa laut selama 22 hari itu melepasi standard pengoperasian yang ditetapkan bagi KD Lekiu iaitu 21 hari.
“Latihan ini menguji kesiapsiagaan kapal serta krew KD Lekiu apabila belayar tanpa ulang bekal di pelabuhan dan hanya melaksanakan pengisian minyak di laut sebanyak enam kali.
“Ini jelas membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai oleh TLDM. Saya mewakili warga Armada Timur mengucapkan tahniah kerana KD Lekiu bersama 145 anggota yang berpangkalan di
Lumut sebagai pasukan TLDM yang pertama mengikuti RIMPAC,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kapal berkenaan di pangkalan Armada Timur di sini hari ini.
Beliau berkata, KD Lekiu yang tiba di pelabuhan berkenaan kira-kira pukul 6.00 pagi ini akan berehat selama beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan ke Lumut pada 27 Ogos ini. – Bernama











