Floria Diraja Putrajaya dijangka catat pengunjung teramai 31 Ogos ini - Utusan Malaysia

Floria Diraja Putrajaya dijangka catat pengunjung teramai 31 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pameran flora antarabangsa tersohor, Floria Diraja Putrajaya 2018 yang akan membuka tirainya esok dijangka menerima pengunjung teramai pada 31 Ogos ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, ini berikutan sambutan Hari Kebangsaan 2018 akan berlangsung di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

“Floria Diraja 2018 kini siap untuk menerima pengunjung, cuma ada beberapa perkara yang perlu diperkemas dan dicantikkan lagi,” katanya  kepada pemberita selepas  meninjau Taman Diraja Perak dan Floral Pavillion di tapak Floria Diraja Putrajaya 2018  di sini hari ini.

Pada prapelancaran Floria Diraja Putrajaya 2018 sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata, festival floria di Anjung Floria Event Centre, Presint 4 yang akan berlangsung  sehingga 2 September itu dijangka menarik kira-kira 1.5 juta pengunjung.

Bertemakan “10 Kegemilangan  Floria”, Floria Diraja Putrajaya 2018 memaparkan kesemua 10 jenis bunga yang menjadi tema Floria sejak 2007 hingga 2016 termasuk bunga raya, orkid, heliconia, ros, bunga kertas, lili dan kekwa.

Khalid berkata, perasmian Floria Diraja Putrajaya 2018 akan disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Menurutnya, kos penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2018 ialah kira-kira RM3 juta iaitu RM2 juta daripada Kementerian Wilayah dan bakinya daripada Perbadanan Putrajaya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN