KUALA LUMPUR 24 Ogos – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berhasrat untuk terus menegakkan syiar Islam di kawasan tersebut dengan berpegang kepada konsep fastabiqul khairat atau berlumba-lumba mengerjakan kebaikan.
Halimey menjelaskan, prinsip berkenaan akan diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat sebagai antara kaedah untuk memperkukuhkan sifat kerohanian dalam kalangan umat Islam di Seri Setia.
Katanya, penerapan konsep fastabiqul khairat juga diyakini dapat mengatasi banyak masalah sosial yang melanda masyarakat terutama golongan muda.
“Usaha mengukuhkan nilai-nilai murni seperti menanam sikap hormat menghormati, menyemai perasaan menghormati jiran, mengutamakan kebersihan dan tidak merosakkan harta awam mesti diberi perhatian serius. Kesemua sikap terpuji itu juga menepati prinsip fastabiqul khairat.
“Saya juga bertanggungjawab untuk memastikan peruntukan khusus dapat diberikan bagi penganjuran program keagamaan sebagai wadah Islam paling praktikal disasarkan kepada golongan belia untuk pemantapan diri dan pembentukan kerohanian,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Pakatan Harapan DUN Seri Setia di sini, hari ini.
PRK DUN Seri Setia menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Halimey dan calon Pas, Dr. Halimah Ali selepas penyandangnya, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin dari PKR meninggal dunia akibat barah usus pada 2 Ogos lalu. – UTUSAN ONLINE











