Tubuh RCI tangani GST, cukai lebih bayar - Najib - Utusan Malaysia

Tubuh RCI tangani GST, cukai lebih bayar – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Ogos- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu cukai lebih bayar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang melibatkan wang kerajaan sebanyak kira-kira RM35 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan RCI penting bagi mencari kebenaran sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan LHDN melakukan pecah amanah atau hanya sekadar permainan politik kerajaan PH.

“Pengecualian cukai selama tiga bulan dan kekurangan pendapatan setiap bulan selepas pemansuhan GST sebelum digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM31 bilion.

“Besar kemungkinan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru menyedari bahawa langkah ‘tax holiday’ dan menukar dari GST ke SST adalah langkah yang tidak betul. Berikutan cara pengurusan ekonomi yang tersasar kerajaan baharu ini, mereka kini menuding jari ke arah kerajaan BN sebagai selimut kepada kesilapan mereka sendiri,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Sementara itu, hari ini, sebuah akhbar melaporkan kes cukai terlebih bayar yang tidak dikembalikan LHDN kepada pembayar berjumlah lebih RM14 bilion disiasat sebagai pecah amanah dan semua ahli lembaga pengarah sedia ada serta penyandang terdahulu dijangka dipanggil memberi keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara yang dijangka dipanggil memberi keterangan berhubung kehilangan dana yang sepatutnya dipulangkan kepada kira-kira 1.65 juta pembayar cukai itu adalah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN