Tiga pasukan khas PDRM telah dimansuhkan Jun lalu - Utusan Malaysia

Tiga pasukan khas PDRM telah dimansuhkan Jun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengesahkan tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dimansuhkan pada Jun lalu kerana berlakunya pertindihan tugas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT), Mohd. Azis berkata, pasukan tersebut adalah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

“Berlaku tuding-menuding dahulu, dia cakap jabatan sana yang buat, bukan kami. Sana pula cakap itu kamu (yang buat).

“Akhirnya orang yang melakukan jenayah seperti membuka judi haram ini berleluasa. Untuk elakkan pertindihan, bubarkan satu dan perkasakan satu (lagi) bahagian,” katanya dalam laporan berkenaan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azis berkata, kakitangan daripada pasukan khas yang dimansuhkan itu akan diserapkan masuk ke unit lain.

“Kalau siasatan jenayah pergi ke siasatan jenayah, judi itu akan ke Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7),” katanya.

Selain itu, beliau berkata, langkah pemansuhan tiga pasukan khas itu tidak akan menyebabkan kadar jenayah bertambah di negara ini, sebaliknya yakin kordinasi akan lebih teratur dan usaha membanteras jenayah lebih baik berbanding sebelum ini.

Pada Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasssin berkata, tiga pasukan khas PDRM dijangka dimansuhkan susulan penstrukturan semula jabatan di dalam agensi penguat kuasa tersebut. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN