APAKAH kehebatan Tan Sri Arshad Ayub, 90, yang menerima Anugerah Merdeka 2013 bagi kategori pendidikan?
Anugerah yang diperkenalkan sejak 2008 itu bertujuan mengiktiraf sumbangan individu dan organisasi dalam pelbagai bidang yang bermakna dan mendalam kepada rakyat serta negara ini.
Penglibatan Arshad dalam pengurusan pendidikan bermula pada 1965 apabila beliau dilantik sebagai Pengetua Kolej Perniagaan dan Pengajian Profesional Majlis Amanah Rakyat (Kolej Mara).
Dua tahun kemudian, Kolej Mara dinaikkan taraf kepada Institut Teknologi Mara (ITM) dan beliau sekali lagi diminta menerajuinya sebagai Pengarah. Arshad telah berkhidmat dengan penuh dedikasi di ITM sehingga 1975.
Di ITM, Arshad memperkenalkan kursus-kursus profesional seperti Pengurusan Perniagaan, Sebaran Am dan Pengurusan Hartanah. Selain itu, beliau turut memperkenalkan program berkembar dan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran dan pengajaran. Bahasa Inggeris digunakan sebagai pengantar di situ sehingga ke hari ini.
Kecemerlangan Arshad terbukti apabila bilangan pelajar di ITM yang kemudiannya dinaikkan taraf sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang asalnya hanya 200 orang pelajar telah meningkat kepada 160,000 pelajar dan dianggap sebagai antara universiti terbesar di dunia.
Dalam buku ini, bekas pelajar ITM dan mereka yang pernah mengenali beliau secara peribadi telah menyumbang artikel mengenai rahsia kenapa Arshad berjaya mengubah pelajar Melayu dan bumiputera menjadi individu cemerlang dalam kerjaya masing-masing ketika banyak pihak lain gagal berbuat demikian.
Usaha Arshad bukanlah mudah kerana beliau menghadapi pelbagai cabaran. Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar dalam pengenalan buku berkenaan mendedahkan antara halangan dihadapi tokoh itu adalah latar belakang pelajar diterima masuk ke ITM yang kebanyakannya dari luar bandar yang mempunyai kurang keyakinan diri, sikap mudah selesa dengan keadaan sedia ada dan tidak mampu berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa Inggeris. Kekurangan itu jika tidak diperbaiki akan menyukarkan pelajar terbabit untuk berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Tulis Johan lagi, ketika era 1960-an, semangat nasionalis bahasa Melayu cukup kuat yang menuntut supaya bahasa kebangsaan itu menjadi pengantar di semua institusi pengajian tinggi (IPT). Gerakan itu amat bertentangan dengan prinsip yang dipegang oleh Arshad.
Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid yang turut menyumbang artikel dalam buku ini menyentuh isu bahasa Inggeris yang menjadi pengantar di ITM.
Beliau menulis: “Apabila dipersoalkan oleh sesetengah pihak, jawapan Arshad adalah, I am here to save the Malay race, not the Malay language.”
Menurut Abu Bakar, jawapan itu dianggap angkuh oleh sesetengah pihak terutama pejuang bahasa Melayu. Bagaimanapun, jelasnya, pendirian Arshad itu dengan mudah boleh dipertahankan secara rasional. Hanya, cara tokoh itu menjawab menimbulkan kemarahan sesetengah pihak kerana dianggap sebagai angkuh.
“Kalau dijelaskan bahawa peranan utama ITM adalah melengkapkan tugas-tugas IPT lain, iaitu mengeluarkan tenaga pekerja profesional serta mahir untuk syarikat swasta dan sektor ini memerlukan penguasaan bahasa Inggeris dalam komunikasi sehariannya, saya percaya tidak akan timbul salah faham,” tulis Abu Bakar.
Bagi bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob yang pernah belajar di ITM ketika diterajui oleh Arshad pula mendedahkan ketegasan tokoh itu dan langkah drastik beliau untuk mengubah budaya pelajar Melayu dan bumiputera termasuk dari segi pemakanan.
“Di ITM saya dan pelajar daripada pelbagai kursus pengajian diberi makan sandwic dan kadang-kadang nasi. Ini disebabkan Arshad inginkan supaya kami tidak berasa mengantuk sewaktu di dalam kelas. Makanan ini walaupun pada mulanya tidak disukai oleh sebilangan pelajar, tetapi lama-kelamaan menjadi juadah berkhasiat yang akhirnya dapat memenuhi keperluan kami.
“Saya juga masih ingat betapa kuatnya disiplin Arshad dalam kerja-kerjanya. Teringat lagi saya pada kebengisan air mukanya. Kami amat takut walaupun untuk berselisih jalan dengannya, takut-takut ditanya soalan yang tidak dapat kami jawab,” tulisnya.
Tambah beliau, pada waktu makan tengah hari di kantin ITM, Arshad tidak suka melihat pelajar beratur panjang kena baginya masa yang terbuang itu lebih baik digunakan untuk belajar.
“Saya kira jasa amat besar yang telah disumbangkan oleh Arshad dalam jurusan pendidikan bumiputera melalui penubuhan ITM dan kemudiannya UiTM menjadikannya seorang negarawan yang sukar ditandingi. Bijaklah negara kita sekiranya beliau dipertimbangkan untuk dikurniakan gelaran Tun,” tulis Hashim.











