COX’S BAZAR, Bangladesh – Hampir satu juta orang Islam Rohingya menyambut Hari Raya Aidiladha di kem pelarian terbesar di dunia semalam, hampir setahun sejak tentera Myanmar melancarkan operasi yang memaksa mereka meninggalkan kampung halaman di Negeri Rakhine.
Pelarian Rohingya berhimpun di surau-surau yang mereka bina di selatan Bangladesh untuk melakukan solat sunat Aidiladha dan menyembelih lembu di padang-padang berlumpur di kem tersebut.
Di Kutupalong, sebuah penempatan besar di atas sebuah bukit yang sesak dengan beratus-ratus ribu pelarian, seorang muazin melaungkan azan ketika kanak-kanak berlari di lorong-lorong kotor dengan memakai baju baharu sempena hari istimewa itu.
Ramai pelarian Rohingya menyambut Hari Raya Aidiladha untuk kali pertama sejak mereka diusir dari barat Myanmar setahun lalu dalam kempen keganasan terancang yang dianggap oleh pegawai Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai penghapusan etnik.
Tentera Myanmar yang disokong militia beragama Buddha mula memusnahkan kampung-kampung etnik minoriti Islam Rohingya pada Ogos 2017, beberapa hari sebelum ketibaan hari raya korban.
Ingatan kepada tanah airnya yang dibakar dan kesukaran menempuh hidup di Bangladesh, membayangi sambutan Aidiladha untuk remaja berumur 19 tahun, Mohammad Issa. Dia ialah salah seorang daripada 700,000 etnik Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman tersebut.
“Di Myanmar, kami mempunyai wang, kami memiliki lembu dan tanah. Sambutan Hari Raya Aidiladha lebih gembira di sana,” katanya di Kem Jamtoli yang merupakan sebuah penempatan baharu untuk pelarian yang baru tiba. – AFP











