ISU-ISU AKHBAR CINA - Utusan Malaysia

ISU-ISU AKHBAR CINA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DR. MAHATHIR BERKUASA?

Memuatkan artikel berkaitan…

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 12 Ogos 2018 menyiarkan artikel yang me­ngupas mengenai kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam artikel bertajuk Dr. Mahathir memegang kuasa di tangan, dilema pola politik baharu hasil tulisan Chan Ching Phaw dalam ruangan Sudut Pandangan 23, pelbagai isu disentuh dan diulas bagi menggambarkan kedudukan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri yang berkuasa.

Meskipun dalam manifesto PH PRU-14 ada dinyatakan tentang langkah mengurangkan kuasa Perdana Menteri, namun hasrat tersebut nampaknya tidak terlaksana. Kuasa Perdana Menteri masih tidak berkura­ngan.

Sebagai contoh, ketika Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyi­ddin Yassin cuti sakit, Dr. Mahathir mengambil alih sementara jawatan itu sehinggalah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kembali bekerja.

Begitu juga dengan pelantikan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Bhd. (Kha­zanah) yang baharu. Pelantikan itu turut menimbulkan persoalan khususnya dalam kalangan rakyat berhubung usaha mengurangkan kuasa Perdana Menteri seperti yang disebut dalam manifesto PH.

Artikel ini turut menyentuh situasi politik negara yang dilihat masih belum tenteram dan teratur sepenuhnya walaupun kerajaan telah bertukar tangan. Ma­sing-masing tidak tahu apakah bentuk perubahan yang mungkin boleh berlaku pada masa akan datang.

Adakah PKR akan berpecah? Adakah DAP akan menjadi MCA 2 atau Parti Bersatu akan bergabung dengan UMNO. Perkara itu sukar untuk dijangkakan. Dalam politik, segala keberangkalian boleh berlaku.

Berbalik kepada kedudukan Dr. Mahathir sebagai Perdana Men­teri kerajaan PH, umum me­nge­tahui beliau sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 22 tahun. Sesiapa yang mengamati corak pemerintahannya pasti menyedari betapa be­liau mempunyai ideologi tersendiri.

Malah boleh dikatakan beliau tidak pernah gagal dalam mempamerkan sesuatu dan sentiasa berada dalam posisi kemenangan. Seperkara lagi beliau sentiasa disokong oleh individu-individu penting yang akan merealisasikan segala setiap rancangannya.

Berhubung pelantikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan pula, pada awalnya dilihat sebagai satu bentuk perubahan dalam Kabinet kerajaan PH yang diketuai oleh Dr. Mahathir.

Oleh itu tidak hairanlah ba­nyak pihak mengalu-alukan pe­lantikan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang baharu. Rating Guan Eng tiba-tiba melonjak.

Bagaimanapun selepas beberapa ketika memegang jawatan itu, rupa-rupanya kuasa Guan Eng sebagai Menteri Kewangan tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan Menteri Kewangan terdahulu. Semuanya ini gara-gara wujudnya satu kementerian baharu iaitu Kementerian Hal Eh­wal Ekonomi.

Dengan kata lain, wujudnya kementerian baharu itu telah menyebabkan berlaku perpindahan beberapa kuasa daripada Kementerian Kewangan seperti urusan ekonomi negara dan segala hal ehwal berkaitan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Berkemungkinan, atas sebab itu Guan Eng tidak dilantik sebagai pengarah dalam Khazanah tatkala berlaku rombakan besar-besaran melibatkan syarikat pelaburan negara itu, baru-baru ini.

Bak kata sesetengah pihak, Menteri Kewangan sekarang tidak ubah sebagai menteri yang kira duit dan bukan yang jaga duit.

Menyentuh tentang masa depan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam era peme­rintahan kerajaan PH yang diterajui Dr. Mahathir, penulis artikel ini percaya bekas Timbalan Perdana Menteri itu berada dalam senario kebimbangan. Khuatir kerana tidak dapat memainkan peranan sewajarnya dalam kerajaan PH ketika ini atas faktor-faktor tertentu.

Dalam pada itu, ada pihak yang berpandangan Anwar akan kehilangan banyak ‘benda’ selepas PRU-14 memandangkan beliau dan Dr. Mahathir telah berbaik semula. Yang pastinya, Anwar selepas ini tidak mungkin menentang Dr. Mahathir kerana kedua-dua mereka dalam kem yang sama.

Tambahan pula, Anwar sudah tentu terhutang budi dengan Dr. Mahathir apabila mengambil keputusan mengeluarkannya daripada penjara sebaik sahaja kerajaan PH menang pada PRU-14, 9 Mei lalu. Tidak mungkin Anwar juga akan lakukan tunjuk perasaan di jalanan seperti pada 1998 sekiranya berlaku apa-apa. Apa yang boleh dikatakan api reformasi kini semakin malap dan tidak bermaya.

SST, HARGA BARANG NAIK?

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 12 Ogos 2018 pula memaparkan tulisan Lee Heng Yee dalam ruangan Pandangan halaman C2 yang mengupas tentang perbezaan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Dalam artikelnya bertajuk Apakah kesan-kesan SST kepada anda? Penulis artikel tersebut menyatakan bahawa pelaksa­naan cukai baharu itu akan bermula pada 1 September ini. Cukai ini adalah sebagai ganti GST yang telah dilaksanakan selama tiga tahun dan dua bulan.

Melalui pelaksanaan SST, kerajaan dijangka mengutip hasil cukai sebanyak RM21 bilion setahun berbanding RM42.7 bilion setahun iaitu ketika GST dikuatkuasakan.

Ekoran berlaku pengurangan hasil cukai, mahu tidak mahu kerajaan perlu berbelanja dengan lebih berkhemah supaya dapat dikurangkan defisit dan hutang negara.

Untuk itu, kerajaan sewajarnya mengambil langkah-langkah penjimatan, mengelakkan ketirisan, membasmi rasuah secara besar-besaran dan pada masa sama mengawal modal projek-projek mega.

Sementara itu, Heng Yee da­lam tulisannya ini turut mengingatkan kepada orang ramai berkemungkinan besar harga sebahagian barangan akan dinaikkan sebaik sahaja SST dilaksanakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN