JAKARTA, Indonesia – Pemegang pingat emas Sukan Olimpik dari Kazakhstan, Dmitriy Balandin memberi bayangan awal kemungkinan bersara daripada kolam renang selepas temasya Sukan Asia 2018 kerana tidak lagi memiliki motivasi.
Perenang berusia 23 tahun berkenaan mula dikenali sebagai atlet bintang setelah mengejutkan kolam renang Sukan Olimpik 2016 di Rio dua tahun lalu apabila muncul sebagai juara acara 200 meter (m) kuak dada individu lelaki.
Bagaimanapun, Balandin mengakui mengalami tekanan, kemerosotan prestasi serta kecederaan berterusan selepas Sukan Olimpik 2016 yang menyebabkannya tiada motivasi baharu.
“Saya rasa mungkin tamatkan karier renang saya. Saya sudah menang dalam semua acara kegemaran pada kejohanan yang saya mahukan. Kini, saya tiada lagi motivasi untuk berenang.
“Saya merupakan ‘adiwira’ di negara saya. Saya hargai semua sokongan warga Kazakhstan yang mengenali saya. Tapi saya dibelenggu masalah kesihatan dan kecederaan hingga menggugat prestasi saya.
“Sebenarnya, saya mahu sesuatu yang lebih daripada Persatuan Renang Kazakhstan. Mungkin dari segi cara mereka menyediakan kejurulatihan buat para perenang serta menguruskan kami.
“Buat masa ini, saya perlu bercuti dan luangkan masa untuk berfikir semula tentang masa depan saya,” katanya yang menarik diri dari acara 200m kuak dada ekoran kecederaan buku lali. – Agensi











