Baki kredit belum dibayar LHDN berjumlah RM16.046 bilion - Utusan Malaysia

Baki kredit belum dibayar LHDN berjumlah RM16.046 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 22 Ogos – Baki kredit yang belum dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) adalah berjumlah RM16.046 bilion iaitu membabitkan sebanyak 1,653,786 kes melibatkan syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, baki tunggakan yang amat besar itu disebabkan oleh kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

Beliau berkata, bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung tersebut dan berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara baki yang sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei lalu hanya berjumlah RM1.486 bilion.

“Amaun ini adalah jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar.

“Dengan kata lain, masih wujud kekurangan RM14.56 bilion setakat 31 Mei lalu yang menyebabkan 1,653,786 pembayar cukai tidak mendapat bayaran balik cukai mereka sejak lebih enam tahun dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, situasi itu jelas menunjukkan sebanyak RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC telah dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Ini bermakna hasil Kerajaan Persekutuan yang dilaporkan oleh kerajaan lama sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor.

“Tunggakan besar bayaran balik baki kredit sehingga melebihi enam tahun ini berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDN,” katanya.

Selain itu katanya, apa yang dilakukan oleh kerajaan lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan.

Dalam pada itu katanya, bagi meringankan bebanan pembayar cukai, kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN membuat permohonan ‘set-off’ sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN